
JOHOR BAHRU, 11 Jun - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 99,000 paket rokok puteh dan kretek bernilai RM975,000 selepas menahan sebuah bot di Sungai Bagan dekat Batu Pahat, awal semalam.
Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata penahanan dilakukan pada kira-kira pukul 3 pagi oleh sepasukan tujuh pegawai dan anggota PPM yang melakukan operasi di perairan Selat Melaka.
"Terdahulu, pegawai dan anggota yang menaiki sebuah bot ronda telah mengesan lebih dari empat bot di kedudukan lapan batu nautika dari pantai Sungai Bagan, pada kira-kira pukul 2.45 pagi.
"Selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot-bot terbabit terus berpecah dan memecut laju bagi melarikan diri," katanya kepada pemberita, di Markas PPM Wilayah Dua, di sini, hari ini.
Khiu berkata bot ronda PPM kemudian bertindak mengejar salah satu bot berkenaan selama 15 minit sebelum bot itu terkandas di kawasan paya bakau.
Beliau berkata pegawai dan anggota PPM ada melihat lebih dua individu melarikan diri dari bot terbabit menuju ke dalam hutan paya bakau, namun, gagal menahan mereka kerana keadaan yang gelap.
Katanya pegawai dan anggota PPM kemudian memeriksa bot gentian kaca yang dilengkapi tiga enjin sangkut 200 kuasa kuda itu dan menemui kesemua rokok jenama 'John' dan 'Gudang Garam Suria'.
"Kita percaya rokok itu adalah dari negara jiran dan hendak dipasarkan ke Malaysia, namun, siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan," katanya.
Beliau berkata pihaknya percaya sindiket menyeludup rokok tersebut kini menggunakan taktik baharu dengan menggerakkan beberapa bot serentak bagi mengelirukan dan menyukarkan penahanan pihak berkuasa.
Katanya, kesemua rokok, bot berserta tiga enjin sangkut itu ditunda ke Markas PPM Wilayah Dua untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup barang bercukai. Foto - Facebook PDRM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan